INFO




BAHAYA MAKANAN RINGAN

Makanan ringan boleh dikategorikan sebagai makanan kurang khasiat yang memudaratkan kerana ia mengandungi karbohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam dengan kadar yang tinggi, di samping rendah ataupun tiada langsung bahan serat, protein, vitamin dan zat-zat logam di dalamnya (Ask The Dietitian-‘Junk Food,’ Joanne Larsen (MS RD LD), 1996, di dietition.com).

Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah Al-Baqarah ayat 172) Nabi Muhammad bersabda: “Jauhilah sesuatu yang memudaratkan...” (Riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah)


PELBAGAI MAKANAN RINGAN

Kek dan kuih-muih mengandungi kadar gula yang tinggi dan kadar vitamin serta zat-zat logam yang amat rendah. Minuman jenis cola juga mengandungi lebihan gula dan kadangkala ia dicampurkan dengan sejenis dadah yang boleh membawa kepada ketagihan, iaitu kafeina. Ais krim pula mengandungi banyak gula dan lemak.

Minuman jus buah-buahan yang dijual di dalam botol kebanyakannya tidak mengandungi jus buah-buahan asli, sebaliknya mengandungi banyak gula, air, bahan pewarna dan perisa tiruan. Kentang goreng atau potato chips pula mengandungi kadar lemak dan garam yang tinggi yang memudaratkan (The Smart Food, Junk Food, The Learning Network Inc, 2001, factmonster.com/ipka/A0768674.html)